Rabu, 13 Januari 2010

PENCEMARAN MENYEBABKAN BINATANG KEPUPUSAN


PENGENALAN

Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan . Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik , kimia , biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan , mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya bukan sahaja binatang tetapi juga manusia dan tumbuh-tumbuhan . Terdapat sebab dan akibat pencemaran ini berlaku . Pencemaran kini berlaku secara berleluasa sehingga menyebabkan banyak binatang kapupusan . Di sini kita tumpukan kepada dua jenis pencemaran iaitu pencemaran air dan pencemaran udara yang menyebabkan binatang dalam kepupusan . Pencemaran air berlaku di kawasan yang berair seperti sungai dan laut manakala pencemaran udara berlaku di kawasan berudara iaitu kawasan di sekeliling kita kecuali dalam air .

Pencemaran air ( sungai ) berpunca daripada perbuatan manusia sendiri . Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sampah ke dalam sungai membawa kepada pencemaran sungai tersebut . Mereka membuang sampah ke dalam sungai mungkin kerana rumah berdekatan dengan sungai yang dapat memudahkan kerja mereka atau mungkin tempat pembuangan sampah telah penuh .

Apabila sampah sarap ini manutupi kawasan permukaan air , maka udara tidak dapat meresap masuk ke dalam air , sudah tentunya haiwan dalam air tersebut misalnya ikan , udang , ketam dan hidupan akuatik lain akan mati kerana kekurangan oksigen . Pencemaran air ini akan menyebabkan peningkatan kandungan nutrien yang mengarah kepada berlakunya eutrofikasi . Eutrofikasi merupakan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh limbah fosfat khususnya di dalam ekosistem air tawar. Hal ini berlaku kerana kandungan nutrien di dalam ekosistem air melebihi tahap yang sepatutnya.

Kajian mendapati bahawa pencemaran air khususnya ‘ sungai ’ berpunca daripada bahan buangan industri , buangan ternakan dan domestik serta kerja tanah dan pembukaan tanah . Bahan buangan tersebut berasaskan pertanian dan pembuatan . Banyak kawasan yang telah dicemari oleh bahan-bahan buangan ini antaranya ialah sungai Juru , sungai Muar, sungai Kelang , sungai Kepah dan sebagainya . Kualiti air sungai merosot disebabkan oleh bahan terbuang ini .

Di samping itu , kepesatan pembangunan juga menyumbang kepada pencemaran sungai . Kita sering diberi pilihan sama ada kita mahu mengekalkan flora dan fauna ataupun mahu menambahkan kemudahan infrastruktur . Bagi kebanyakan masyarakat di negara kita , kita mengalah kepada tuntutan pemodenan dan kemajuan . Kita korbankan flora dan fauna di sekeliling kita bagi memberi laluan kepada pembangunan . Implikasinya seperti yang kita lihat sekarang , banyak spesies – spesies fauna semakin diancam kepupusan .

Kepesatan pembangunan menyumbang kepada pembuangan sisa toksik serta sisa industri lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai . Keadaan ini bertambah teruk apabila terdapat pengusaha binatang ternakan membuang sisa yang tidak digunakan ke dalam sungai . Contohnya , sisa najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain yang ada pada najis ternakan ayam , khinzir , kambing dan lain-lain lagi yang membawa kepada masalah pencemaran . Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan . Akibatnya sungai menjadi busuk dan tidak dapat mengalir dengan deras . Oleh sebab keadaan sungai yang berbau dan diliputi oleh bahan-bahan terbuang ini , maka secara tidak langsung hidupan di dalam air akan mati kerana kekurangan oksigen . Sudah tentu habitat haiwan ini akan berkurangan akhirnya pupus begitu sahaja .

Begitu juga dengan pencemaran yang berlaku di laut di mana sungai yang tercemar akan mengalir terus ke laut,dan membawa pencemaran bersama-samanya . Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan banyak hidupan laut mati . Tumpahan minyak dan pembuangan sisa-sisa toksik oleh kapal yang belayar di laut sememangnya amat membimbangkan semua pihak . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpahan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton . Keindahan dan sifat semula jadi laut ini akan terjejas di mana banyak hidupan dalam laut mati kerana bahan terbuang ini .

Pencemaran udara pula berlaku apabila terdapat benda asing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan bukan sahaja binatang tetapi juga manusia ,dan tumbuh-tumbuhan . Benda asing ini adalah dalam bentuk abuk , asap , kabus , wap dan gas . Apabila benda asing ini mempengaruhi alam sekitar dan boleh dikatakan berada pada tahap yang serius maka haiwan akan terancam atau mati akibat dari kandungan yang berlebihan . Kandungan yang terdapat dalam pencemaran udara ini ialah karbonmonoksida (CO) , karbondioksida (CO2) , Hidrokarbon , Chloro-fluoro-carbon (CFC) dan sebagainya . Sekiranya tumbuhan dalam hutan mati maka haiwan juga akan mati kerana haiwan sangat bergantung kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup . Kawasan pencemaran udara yang paling teruk berlaku ialah di Kalimantan dan Sumatera Indonesia . Banyak binatang dalam hutan tersebut telah pupus . Lebih menyedihkan , kebakaran hutan besar berlaku dan tidak dapat dikawal memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya .
Pembakaran terbuka juga merupakan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan binatang dalam hutan pupus . Pembakaran terbuka biasanya dilakukan oleh individu yang mementingkan diri sendiri ibarat enau melepaskan pucuknya masing-masing . Mereka mahu melupuskan bahan buangan secara mudah dan murah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan . Sebagai contoh ada dalam kalangan petani menjalankan aktiviti pertanian dengan menebang pokok kemudian membersihkan
kawasan dengan membakarnya secara terbuka . Sudah tentu haiwan dalam hutan tersebut akan lari ke tempat lain kerana terasa diri mereka telah diancam . Semakin banyak kawasan yang diteroka oleh manusia maka semakin kecillah habitat yang dihuni oleh hidupan liar dalam hutan .

Kesimpulannya , masalah pencemaran udara ini perlu diatasi secara kolektif ibarat bulat air kerana pembentung dan bulat manusia kerana muafakat . Kesedaran perlu ada dalam diri individu untuk menjaga kualiti udara di negara ini . Begitu juga dengan sungai kerana sungai kini bukan sahaja sumber bekalan air tetapi juga menjadi daya tarikan pelancong sebagai tempat bersantai . Hargailah sungai kita kerana sumber sungai tidak dapat diganti . Sekiranya masalah pencemaran yang dijelaskan di atas dapat dibendung , maka hidupan sama ada di darat atau di dalam air akan hidup dengan aman dan selesa . Kita sudah semestinya dapat menikmati keindahan semula jadi dengan tenang dan mempersonakan .




(Norsyafira bt Mohd Rejab No Matrik:119718 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan