Isnin, 11 Januari 2010

Kepupusan Fauna


Pengenalan
Atas nama pembangunan, flora dan fauna sering menjadi korban manusia. Hasilnya, kita kini diancam kepupusan ratusan spesies binatang. Tidak mustahil pada masa hadapan, gajah, harimau dan singa hanya mampu dikenali generasi akan datang menerusi muzium binatang yang diawetkan. Apakah puncanya dan sejauh manakah manusia bertanggungjawab mengatasi masalah ini?

Bagi menikmati penambahan kemudahan infrastruktur dan tuntutan permodenan serta kemajuan, kita sanggup mengorbankan fauna di sekeliling kita. Implikasinya seperti kita lihat sekarang, banyak spesies fauna yang diancam kepupusan. Menurut Kamus Dewan, fauna bermaksud (Bio) seluruh binatang yang hidup di sesuatu daerah tertentu. Kepupusan pula ditakrifkan sebagai habis semua sekali, hilang lenyap, binasa semuanya dan punah. Jadi, kepupusan fauna boleh didefinisikan sebagai seluruh haiwan semula jadi yang hidup di sesuatu daerah tertentu semakin lenyap, binasa dan mati. Persoalannya, mahukah kita bertanggungjawab atas kepupusan fauna? Jika kita kaji secara mendalam, punca masalah kepupusan fauna adalah manusia itu sendiri.

Seperti dinyatakan tadi, aktiviti-aktiviti manusia adalah punca utama kepupusan haiwan yang membawa kepada kemusnahan dan perubahan habitat. Contoh aktiviti manusia yang paling jelas ialah pembalakan dan penerokaan kawasan baru untuk pembangunan. Menurut laporan Trade Record Analysis of Fauna and Flora, di antara tahun 1986 sehingga Jun 1990, sebanyak 500,000 hektar hutan di Malaysia ditebang tetapi kawasan yang dibenarkan hanya 320,000 hektar saja. Aktiviti pembalakan harus dikawal kerana kemusnahan sesebuah kawasan hutan memerlukan masa selama 40 tahun untuk pulih semula.

Pembalakan yang tidak dirancang mempunyai kesan buruk ke atas alam sekitar kerana ia boleh memusnahkan habitat fauna. Aktiviti- aktiviti ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka tertentu. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnah atau mengecilkan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas untuk aktiviti-aktiviti hidup. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Kematian dan pengurangan bilangan haiwan adalah kesan utama yang akan berlaku disebabkan masalah ini.

Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah. Lebih menyedihkan, kebakaran hutan yang besar dan tidak dapat dikawal akan memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya. Pembukaan kawasan pertanian baru seperti pembukaan tanah baru iaitu tanah rancangan oleh Felda dan Felcra turut menggalakkan kepupusan fauna yang terdapat di kawasan tersebut. Antara yang paling kritikal adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi.

Apabila jumlah penduduk dunia meningkat, kita memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membina rumah, kawasan industri, perniagaan dan pertanian, jaringan pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan seperti loji bekalan air dan tapak pelupusan sampah. Contohnya, pembukaan tanah baru di Loji Gua Musang Kelantan di mana penyerahan tanah secara besar-besaran kepada beberapa syarikat yang bertujuan untuk membuka kawasan pertanian seperti kebun sayur. Bagi tujuan itu maka banyak hutan ditebang dan dibersihkan. Fauna yang berada di sekeliling kawasan itu akan mengalami kepupusan.

Pemburuan haram yang berleluasa di hutan-hutan negara juga adalah faktor kemusnahan habitat dan spesies haiwan. Pemburuan haram berlaku akibat permintaan tinggi daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di negara ini. Sukarnya menyeludup haiwan ini daripada dihidu oleh pihak berkuasa menyebabkan haiwan-haiwan ini sering disembunyikan dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Menurut kajian yang pernah dilakukan, daripada 10 haiwan yang diseludup, biasanya hanya seekor saja yang sampai ke tangan pembeli dalam keadaan selamat. Hal ini menyebabkan nilai haiwan tersebut sangat tinggi dan ini menggalakkan lagi pemburuan haram. Menyedihkan juga kerana haiwan-haiwan daripada golongan primat seperti monyet dijual kepada institusi-institusi tertentu untuk tujuan penyelidikan. Dianggarkan hampir 200,000 primat digunakan setiap tahun untuk tujuan penyelidikan sehingga menyebabkan beberapa jenis primat hampir pupus kini.

Gaya hidup manusia juga turut menjurus kepada kemusnahan haiwan. Walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan diperkenalkan, masalah memburu binatang untuk mendapatkan kulit, gading dan bahagian-bahagian badan binatang yang dikatakan memberi kekuatan kepada manusia terus berleluasa. Harimau, memerang, paus, badak dan gajah adalah antara binatang yang diburu untuk tujuan tersebut. Pemburu haram ini bukan saja mengeksploitasikan binatang ini malahan mengaut keuntungan yang banyak.

Permintaan yang tinggi melalui pasaran antarabangsa dan tempatan terhadap binatang ini menjadi punca utama kegiatan ini berterusan. Contoh lain ialah Harimau Malaya yang merupakan satu spesies yang kian terancam kerana pemburuan terhadapnya. Permintaan yang tinggi terutamanya dalam bidang perubatan Cina menyebabkan Harimau Malaya kini hanya tinggal sejumlah yang sedikit sahaja.

Tumpahan minyak dan sampah-sarap serta pembuangan sisa toksik ke dalam laut menyebabkan kemusnahan hidupan laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat manakala pembuangan sisa kilang juga kadang kala membuang bahan beracun ke dalam sungai. Ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Pencemaran laut juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut. Sungai yang tercemar akan mengalir ke laut dan membawa pencemaran bersama-samanya sehingga mampu menyebabkan hidupan air mati dan semakin pupus. Contoh lain ialah Beruang Panda yang merupakan antara habitat istimewa yang hanya terdapat di negara China kini kian terancam kepupusannya disebabkan pencemaran alam. Hidupan seperti penyu di lautan juga kian terancam. Menurut laporan Pusat Santuari Penyu Rantau Abang Terengganu, melalui kajian mereka menunjukkan bahawa pada tahun 1986 terdapat 5665 ekor penyu mentarut tetapi pada tahun 1994 hanya tingga 2247 ekor sahaja. Ini jelas menunjukkan bahawa kepupusan penyu mentarut ini jika tidak dibendung akan menyebabkan generasi akan datang tidak lagi mengenali spesies ini.

Perubahan suhu dunia merupakan satu faktor yang tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti manusia yang membolehkan kepupusan fauna berlaku. Faktor perubahan iklim ini bukanlah perkara baru dalam kepupusan fauna di mana faktor kepupusan binatang pra sejarah seperti ‘dinasor’ adalah disebabkan perubahan cuaca dunia . Fenomena El-Nino umpamanya menyebabkan peningkatan suhu dunia yang mendadak dan menyebabkan ada sesetengah spesies haiwan yang terancam terutama haiwan yang tidak sesuai dengan cuaca panas.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kepupusan fauna adalah melalui pemeliharaan dan pemuliharaan. Pemeliharaan ialah usaha yang dilakukan untuk melindungi, merancang dan mengurus alam semula jadi supaya kekal dan berterusan. Pemuliharaan pula ialah usaha yang dilakukan untuk memulihkan sumber yang telah diganggu supaya kembali pada keadaan asal.

Selain itu, kerajaan juga menguatkuasakan akta yang telah dan sedia ada. Pelbagai akta telah diwartakan untuk menjaga alam sekitar. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya bersatu dalam menangani isu kepupusan fauna. Antara contoh akta yang telah sedia ada ialah mendokumentasikan kekayaan dan kepelbagaian spesies yang ada dalam hutan sebelum sesuatu tindakan mengubah status kawasan dilakukan.

Di samping itu juga, sistem pengurusan hutan berkekalan diwujudkan bagi melindungi unsur-unsur hutan terutama kepelbagaian hayat spesies yang menghadapi bahaya kepupusan. Akta dan tindakan undang-undang pembalakan khasnya untuk mencegah pembalakan haram diwujudkan seperti di kawasan perlindungan hutan iaitu Taman Negara. Usaha penyelidikan oleh FRIM, Perhilitan dan Jabatan Alam Sekitar seperti usaha mengkaji kepupusan Harimau Malaya juga dilakukan.

Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia. Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ), khususnya dalam mata pelajaran Sains seperti Biologi. Peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.

Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio. Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah. Melalui pendedahan ini, secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran tentang betapa pentingnya memelihara alam sekitar dan kesannya kepada habitat fauna kepada masyarakat. Pada hari ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu kepupusan fauna boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan khazanah yang tiada nilainya jika sudah pupus.

Kesimpulan

Ancaman kepupusan haiwan yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi kita bukan lagi satu masalah domestik atau hanya dialami oleh negara-negara dunia ketiga dan membangun. Ia sebaliknya telah menjadi masalah global dan boleh dikatakan setiap negara di seluruh pelusuk dunia mempunyai agensi atau institusi khusus untuk memastikan masalah kepupusan terkawal. Oleh itu, alam sekitar perlu dipelihara kerana kegiatan manusia yang tidak terkawal boleh menyebabkan kepupusan fauna dan secara tidak langsung kita dan generasi akan datang bakal kehilangan haiwan-haiwan yang mempunyai habitat dan hidup dalam jangka masa lama di negara ini.



(Nur Iwani Yazid No Matrik :119884)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan