Khamis, 14 Januari 2010




SENARAI NAMA AHLI KUMPULAN

HAIDA BINTI IBRAHIM (122348)
NORLELA BINTI ZULKAFLE (119647)
NUR IWANI BINTI YAZID (119884)
NORSYAFIRA BINTI MOHD REJAB (119718)
MOHD ZAIRIN EFFENDY (122370)


Ulasan

Salam,
Artikel yang dilampirkan adalah berkenaan perihal haiwan yang dijadikan Allah SWT sebagai sebahagian penghias muka bumi namun kini mengalami permasalahn hasil dari pertembungan dengan manusia. Banyak haiwan yang kepupusan, malahan banyak yang menderita dek perbuatan yang dilakukan oleh manusia.Sebagai makhluk yang dijadikan Allah SWT, lengkap dengan akal pemikiran seharusnya kita menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya.Bumi yang dijadikan Allah SWT adalah satu tempat pengkongsian hidup yang patut kita jagai bersama dan kita hormati.Kita seringkali mengandaikan kita yang berharga di bumi sedangkan kita perlu sedar tanpa haiwan yang dijadikan Allah SWT, hidup kita di bumi ini tidak akan lengkap.Haiwan-haiwan ini berhak untuk hidup di muka bumi sebagaimana kita manusia.Dari itu sama-samalah kita pelihara khazanah yang dijadikan Allah SWT agar kita tidak tergolong di antara manusia yang mementingkan diri tanpa menyedari bahawa kita juga adalah salah satu makhluk yang dicipta Allah SWT yang menumpang hidup di bumiNya!
2010 Januari 14 22:15

SUMBER MAKANAN DAN ALAM SEKITAR


Makanan adalah keperluan asas setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini. Tetapi akhir-akhir ini makanan telah menjadi satu bidang yang boleh memberikan keuntungan yang amat lumayan. Ia telah menjadi industri yang bernilai berjuta-juta ringgit. Bidang pemakanan yang amat mementingkan citarasa pelanggan memberikan keuntungan yang amat kepada para doktor, pakar pemakanan, pakar diet dan salun-salun untuk pelangsingan badan. Ini kerana kita telah menjadikan makanan sebagai tujuan utama kita hidup. Kebanyakan kita mengamalkan budaya ‘hidup untuk makan dan bukan makan untuk hidup’.
Dari dahulu hingga sekarang makanan adalah keperluan utama manusia. Kita masih boleh hidup jika tidak ada rumah yang cantik atau tidak ada kenderaan tetapi kita tidak boleh hidup tanpa makanan. Adakah kita tahu setiap makanan yang kita makan dari mana sumber ia di perolehi. Sama ada dalam bentuk sayur sayuran mahupun sumber dari haiwan. Akhir-akhir ini ramai yang tidak ambil kisah dengan alam sekitar, pencemaran sisa-sisa buangan bagi menghasilkan sesuatau produk makanan.
Pihak kementerian banyak menjalankan kempen-kempen alam sekitar dan pada setiap tahun, seluruh penduduk dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun. Hari Alam Sekitar Sedunia telah dimulakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1972 dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-38 bagi Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat dunia tentang masalah persekitaran yang dihadapi masa kini dan masa yang akan datang. Secara amnya, Hari Alam Sekitar Sedunia ini diadakan untuk:


  • Menggalakkan pembangunan yang lestari dan seimbang
  • Menyalurkan maklumat kepada komuniti setempat untuk membawa perubahan di peringkat individu kerana ini merupakan titik permulaan bagi penyelesaian masalah persekitaran
  • Memupuk persefahaman dan kesedaran akan kepentingan melindungi alam sekitar untuk menjamin masa depan penduduk di seluruh dunia
Tema bagi tahun ini adalah: ‘Bumi Anda Memerlukan Anda Bersatulah Untuk Menghadapi Perubahan Iklim’. Ia bertujuan membawa kesedaran dan perhatian sedunia dalam mempertimbangkan strategi baru untuk menangani masalah perubahan iklim di mesyuarat antarabangsa yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark.
Perubahan iklim merupakan satu ancaman kepada penduduk sedunia sekarang. Setiap warga di dunia ini perlu bertindak sekarang untuk mengurangkan kesannya terhadap bumi yang sudah uzur akibat pencemaran. Pendekatan jangka pendek seperti penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang mencemar dan pelan jangka panjang seperti penggubalan dasar hijau serta pendidikan kesedaran awam tentang kepentingan alam sekitar perlu diusahakan dengan lebih giat untuk bersama-sama melindungi dunia kita daripada kerosakan yang disebabkan oleh diri kita sendiri.
Bagi mencapai matlamat seiring dengan memastikan alam sekitar terjamin dengan produk-produk makan kucing yang berada di pasaran, kita sebagai penguna mestilah bijak memilih setiap produk yang hendak di beli. Ini kerana terdapat pelbagai jenis produk makan yang berada di pasaran masa kini.

Kesimpulan
Pencemaran alam sekitar memberi banyak kesan yang sangat buruk terhadap dunia pada masa kini. Kejadian hujan asid, kesan rumah hijau, penipisan ozon adalah antara kesan kesan pencemaran alam sekitar yang serius dan perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih kritikal. Manusia dan juga hidupan lain saling berkait untuk terus hidup di dunia ini. Manusia memerlukan bahan makanan. Sekiranya sumber makanan dicemari, maka tiadalah sumber makanan untuk manusia.
Sekiranya penduduk dunia atau manusia bersikap sambil lewa dengan keadaan alam sekitar yang semakin tercemar ini, dunia mungkin akan menjadi semakin kritikal dan hidupan lain di muka bumi ini akan terjejas atau pupus secara tidak langsung dan kemungkinan dunia akan musnah secara perlahanlahan. Manusia seharusnya bertanggungjawab dan menjaga serta memulihara alam sekitar. Jika pencemaran dibiarkan berterusan, bumi akan kehilangan keindahannya dan mungkin suatu hari nanti, dunia ini tidak boleh lagi didiami oleh sebarang hidupan termasuklah manusia.
Manusia seharusnya telah memulakan usaha-usaha untuk melakukan pemuliharaan terhadap alam sekitar yang telah musnah ataupun terjejas pada masa sekarang. Manusia tidak lagi boleh menunggu sehingga tibanya masa keadaan alam sekitar menjadi benar-benar kritikal, dan barulah mengambil tindakan, kerana segala-galanya mungkin akan terlambat dan tidak boleh diselamatkan lagi.



(Mohd Zairin Effendy 122370)

Rabu, 13 Januari 2010

PENCEMARAN MENYEBABKAN BINATANG KEPUPUSAN


PENGENALAN

Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan . Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik , kimia , biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan , mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya bukan sahaja binatang tetapi juga manusia dan tumbuh-tumbuhan . Terdapat sebab dan akibat pencemaran ini berlaku . Pencemaran kini berlaku secara berleluasa sehingga menyebabkan banyak binatang kapupusan . Di sini kita tumpukan kepada dua jenis pencemaran iaitu pencemaran air dan pencemaran udara yang menyebabkan binatang dalam kepupusan . Pencemaran air berlaku di kawasan yang berair seperti sungai dan laut manakala pencemaran udara berlaku di kawasan berudara iaitu kawasan di sekeliling kita kecuali dalam air .

Pencemaran air ( sungai ) berpunca daripada perbuatan manusia sendiri . Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sampah ke dalam sungai membawa kepada pencemaran sungai tersebut . Mereka membuang sampah ke dalam sungai mungkin kerana rumah berdekatan dengan sungai yang dapat memudahkan kerja mereka atau mungkin tempat pembuangan sampah telah penuh .

Apabila sampah sarap ini manutupi kawasan permukaan air , maka udara tidak dapat meresap masuk ke dalam air , sudah tentunya haiwan dalam air tersebut misalnya ikan , udang , ketam dan hidupan akuatik lain akan mati kerana kekurangan oksigen . Pencemaran air ini akan menyebabkan peningkatan kandungan nutrien yang mengarah kepada berlakunya eutrofikasi . Eutrofikasi merupakan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh limbah fosfat khususnya di dalam ekosistem air tawar. Hal ini berlaku kerana kandungan nutrien di dalam ekosistem air melebihi tahap yang sepatutnya.

Kajian mendapati bahawa pencemaran air khususnya ‘ sungai ’ berpunca daripada bahan buangan industri , buangan ternakan dan domestik serta kerja tanah dan pembukaan tanah . Bahan buangan tersebut berasaskan pertanian dan pembuatan . Banyak kawasan yang telah dicemari oleh bahan-bahan buangan ini antaranya ialah sungai Juru , sungai Muar, sungai Kelang , sungai Kepah dan sebagainya . Kualiti air sungai merosot disebabkan oleh bahan terbuang ini .

Di samping itu , kepesatan pembangunan juga menyumbang kepada pencemaran sungai . Kita sering diberi pilihan sama ada kita mahu mengekalkan flora dan fauna ataupun mahu menambahkan kemudahan infrastruktur . Bagi kebanyakan masyarakat di negara kita , kita mengalah kepada tuntutan pemodenan dan kemajuan . Kita korbankan flora dan fauna di sekeliling kita bagi memberi laluan kepada pembangunan . Implikasinya seperti yang kita lihat sekarang , banyak spesies – spesies fauna semakin diancam kepupusan .

Kepesatan pembangunan menyumbang kepada pembuangan sisa toksik serta sisa industri lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai . Keadaan ini bertambah teruk apabila terdapat pengusaha binatang ternakan membuang sisa yang tidak digunakan ke dalam sungai . Contohnya , sisa najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain yang ada pada najis ternakan ayam , khinzir , kambing dan lain-lain lagi yang membawa kepada masalah pencemaran . Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan . Akibatnya sungai menjadi busuk dan tidak dapat mengalir dengan deras . Oleh sebab keadaan sungai yang berbau dan diliputi oleh bahan-bahan terbuang ini , maka secara tidak langsung hidupan di dalam air akan mati kerana kekurangan oksigen . Sudah tentu habitat haiwan ini akan berkurangan akhirnya pupus begitu sahaja .

Begitu juga dengan pencemaran yang berlaku di laut di mana sungai yang tercemar akan mengalir terus ke laut,dan membawa pencemaran bersama-samanya . Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan banyak hidupan laut mati . Tumpahan minyak dan pembuangan sisa-sisa toksik oleh kapal yang belayar di laut sememangnya amat membimbangkan semua pihak . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpahan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton . Keindahan dan sifat semula jadi laut ini akan terjejas di mana banyak hidupan dalam laut mati kerana bahan terbuang ini .

Pencemaran udara pula berlaku apabila terdapat benda asing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan bukan sahaja binatang tetapi juga manusia ,dan tumbuh-tumbuhan . Benda asing ini adalah dalam bentuk abuk , asap , kabus , wap dan gas . Apabila benda asing ini mempengaruhi alam sekitar dan boleh dikatakan berada pada tahap yang serius maka haiwan akan terancam atau mati akibat dari kandungan yang berlebihan . Kandungan yang terdapat dalam pencemaran udara ini ialah karbonmonoksida (CO) , karbondioksida (CO2) , Hidrokarbon , Chloro-fluoro-carbon (CFC) dan sebagainya . Sekiranya tumbuhan dalam hutan mati maka haiwan juga akan mati kerana haiwan sangat bergantung kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup . Kawasan pencemaran udara yang paling teruk berlaku ialah di Kalimantan dan Sumatera Indonesia . Banyak binatang dalam hutan tersebut telah pupus . Lebih menyedihkan , kebakaran hutan besar berlaku dan tidak dapat dikawal memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya .
Pembakaran terbuka juga merupakan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan binatang dalam hutan pupus . Pembakaran terbuka biasanya dilakukan oleh individu yang mementingkan diri sendiri ibarat enau melepaskan pucuknya masing-masing . Mereka mahu melupuskan bahan buangan secara mudah dan murah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan . Sebagai contoh ada dalam kalangan petani menjalankan aktiviti pertanian dengan menebang pokok kemudian membersihkan
kawasan dengan membakarnya secara terbuka . Sudah tentu haiwan dalam hutan tersebut akan lari ke tempat lain kerana terasa diri mereka telah diancam . Semakin banyak kawasan yang diteroka oleh manusia maka semakin kecillah habitat yang dihuni oleh hidupan liar dalam hutan .

Kesimpulannya , masalah pencemaran udara ini perlu diatasi secara kolektif ibarat bulat air kerana pembentung dan bulat manusia kerana muafakat . Kesedaran perlu ada dalam diri individu untuk menjaga kualiti udara di negara ini . Begitu juga dengan sungai kerana sungai kini bukan sahaja sumber bekalan air tetapi juga menjadi daya tarikan pelancong sebagai tempat bersantai . Hargailah sungai kita kerana sumber sungai tidak dapat diganti . Sekiranya masalah pencemaran yang dijelaskan di atas dapat dibendung , maka hidupan sama ada di darat atau di dalam air akan hidup dengan aman dan selesa . Kita sudah semestinya dapat menikmati keindahan semula jadi dengan tenang dan mempersonakan .




(Norsyafira bt Mohd Rejab No Matrik:119718 )

Selasa, 12 Januari 2010

MEMBONGKAR PENEMUAN SPESIS TERBARU …..!




Pendapat yang menyatakan bahawa dunia telah diterokai sepenuhnya, ternyata tidak benar kerana penemuan spesis haiwan dan tumbuhan yang terbaru ternyata masih berterusan dan berlanjutan. Dengan teknologi dan kepakaran pada masa kini, setiap inci ceruk dan pelusuk dunia berjaya “ditembusi” dan menemukan spesis terbaru yang sangat menakjubkan.

Di Tanzania dan di kaki pergunungan Himalaya, pasukan saintis telah menemui spesis monyet mangabey yang yang dinamakan Highland Mangabey (Lophocebus Kipunji ) . Spesis monyet ini berwarna coklat dengan panjang tubuhnya lebih kurang 90 cm. Wajah monyet ini agak unik kerana dipenuhi bulu yang sangat lebat di bahagian pipinya. Rambutnya yang tumbuh lebat dan tebal adalah bertujuan untuk melindungi dari suhu sejuk dan dingin kerana monyet ini tinggal di kawasan dengan ketinggian 2450 meter dari aras permukaan laut.

Pada 1990-an, di kawasan yang terpencil dipergunungan Anam Cordilera, di sempadan Vietnam, Laos, dan Myanmar, sejenis mamalia yang diberi nama Sao La ( Pseudoryx ngetihensis ) telah ditemui. Sao La mempunyai tubuh yang hampir sama besarnya dengan rusa. Tanduknya panjang dan membengkok seperti Oryx .

Conservation International (CI) yang menerajui ekspedisi sekumpulan saintis ke Pergunungan Foja di New Guinea pula, telah berjaya membongkar penemuan spesis terbaru yang menakjubkan. Perjalanan yang dimulakan pada Disember 2005, melibatkan sepasukan saintis dari negara Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia telah menemui khazanah yang tersimpan lama di Pergunungan Foja.

Pasukan saintis tersebut menemui berbagai spesis , katak, burung, tumbuhan dan rama-rama yang menghuni kawasan tersebut. Menurut Bruce Beehler, Naib Presiden CI’s Melanesia Center Biodiversity Conservation dan juga penolong ketua dalam eskpedisi ini, “burung pertama

yang dilihat di kem adalah satu spesis yang baru di temui. Terdapat juga mamalia yang hampir pupus, yang bersembunyi di pergunungan ini. Kami berjaya mendapatkan spesis mamalia primitif yang bertelur yang amat jarang diketahui iaitu Long Beaked Echidnas.”

Dalam ekspedisi ini juga , pasukan saintis turut menemui sejenis mamalia dari keluarga kangaroo yang saiznya sebesar kucing liar yang sangat jinak iaitu Golden-mantled Tree Kangaroo (Dendrolagus pulcherrimus).Golden-mantled Tree Kangaroo mempunyai bulu yang berwarna coklat keperangan, ekornya berbelang-belang dan wajahnya seiras dengan wajah kangaroo.

Hutan New Guinea adalah di antara hutan yang terpelihara namun kini ia menghadapi masalah kepupusan kerana telah dicemari dengan kegiatan pembalakan yang berleluasa. Namun kedudukan hutan di Gunung Foja, yang terletak di barat New Guinea adalah agak terpencil dengan itu , hutannya masih tidak “disentuh” lagi.

Oleh kerana itulah, spesis binatang dan flora masih tidak terusik dan belum pernah ditemui terdapat di sini. Selain dari itu, spesis burung yang yang pertama dari New Guinea ditemui semula selepas 60 tahun. Burung yang mukanya berwarna oren dan menghisap madu tersebut diberi nama Honeyeater .

Begitu juga dengan sejenis lagi burung yang mempunyai keunikan yang tersendiri (lihat gambar di sebelah). Berlepsch's Six-wired Bird of Paradise (Parotia berlepschi), merupakan nama yang diberikan berdasarkan kepada fizikal burung berkenaan. Bulunya berwarna hitam dan perang dan yang paling menarik ialah bulunya yang melajur seolah-olah terdapat antenna di atas kepalanya.

Terdapat lebih dari 20 jenis spesis katak yang baru ditemui masih lagi belum dapat dikenalpasti dan masih dalam kajian para saintis dan pakar. Katak-katak tersebut terdiri dari pelbagai warna seperti warna hijau, coklat dan kehitaman. Bentuk dan saiznya juga berbeza. Spesis-spesis ini merupakan penemuan yang tidak ternilai.

Sejenis tikus yang agak ganjil ditemui di Asia Tenggara pada 05/11/2005. Tikus ini yang bersaiz seekor arnab , serta mempunyai bulu yang lebat dan kaki yang bercantum seperti kaki itik ini, ditemui di Laos,oleh saintis-saintis dari Wildlife Conservation Society (WCS), telah menambahkan lagi koleksi spesis terbaru yang menakjubkan.

Di Malaysia , para saintis mungkin dapat membongkar misteri tentang kewujudan spesis haiwan yang menjadi mitos selama ini. Bigfoot merupakan haiwan lagenda yang menyerupai monyet besar yang berbulu lebat serta mempunyai ketinggian yang luarbiasa malahan bergerak seperti manusia ini dikatakan kelihatan di hutan hujan Johor Baharu.Walau bagaimanapun penemuan ini masih dalam kesamaran kerana tidak ada fakta yang kukuh untuk menyokong kenyataan bahawa haiwan yang di lihat di hutan hujan tersebut ialah benar-benar seekor bigfoot .

Penemuan spesis- spesis baru bukan sahaja si pergunungan malahan banyak spesis baru yang ditemui di perairan dan laut dalam. Begitu juga dengan penemuan baru di perairan Malaysia iaitu sejenis spesis baru Jerung yang dinamakan Jerung Borneo. Spesis ini dikatakan

Penemuan spesis- spesis baru bukan sahaja di pergunungan malahan banyak spesis baru yang ditemui di perairan dan laut dalam. Mengikut laporan pada 11 Disember 2006, para saintis membongkar wujudnya spesis yang disangkakan telah pupus sejak 50 juta tahun lalu di perairan laut dalam Laut Coral ( Coral Sea ).

Di kedalaman 2 batu perairan Lautan Atlantik spesis yang dikatakan pupus ini ditemui semula dan bentuknya sangat ganjil dan misteri. Spesis ini dikatakan tergolong dalam keluarga udang. Spesis ini hidup di dalam air yang sejuk serta kawasan yang gelap.

Lebih dari 3 batu di bawah Laut Sargasso ( Sargasso Sea )di perairan Atlantik , para pengkaji dapat mengumpulkan lebih satu dozen hidupan baru yang belum pernah dilihat. Spesis ini hidup dengan memakan antara satu sama lain serta memakan bahan organik yang hanyut dan mendap dari permukaan laut. Spesis yang masih dalam kajian belum lagi di beri nama dan belum dikategorikan.

Di rekahan perairan Tasmania ,lebih kurang 4000 meter bawah paras laut, para saintis telah menemui spesis yang sangat unik. Spesis ini dinamakan Funnel Shaped Sea Squirt merupakan spesis haiwan karnivor yang berbentuk seperti corong. Ia boleh disamakan seperti pokok Periuk Kera di mana ia memerangkap haiwan seperti udang dan setelah mangsa memasuki “perangkapnya” maka ia akan menutup corongnya.

Menurut Jess Atkins, professor dari Caltech, pencarian hidupan baru ini dijalankan dengan menggunakan Jason iaitu kapal selam mekanikal berbentuk seperti kereta yang dapat menyelam hingga lebih dari 3000 meter bawah paras laut. Hasil dari penyelaman yang dilakukan , terdapat lebih dari ribuan labah-labah laut dan juga jutaan spesis sea anemone yang berwarna ungu berbintik-bintik ditemui para pengkaji dari kedalaman 3000 meter hingga 4000 meter bawah paras laut.

Pencarian spesis yang baru dijalankan di seluruh pelusuk dunia tidak kira di pergunungan mahupun perairan. Mengikut rekod terdapat lebih dari 16,000 spesis ikan laut dan lebih dari 70,000 mamalia dari spesis marin laut dikenal pasti dan yang baru ditemui adalah lebih dari 2,000 spesis.

Para pengkaji masih lagi meneruskan pencarian dengan menetapkan ekspedisi 20 buah lautan termasuklah lautan Antartik dengan para penyelidiknya lebih dari 2,000 orang yang datang dari beberapa buah negara termasuklah Australia, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan pencarian yang tidak berhenti oleh para saintis yang sanggup merentas gunung dan rimba untuk mencari spesis yang wujud tetapi masih belum ditemui.

Penemuan-penemuan baru ini membuktikan betapa luasnya bumi yang dicipta Allah, dan masih banyak hidupan yang tersembunyi . Manusia harus mengambil iktibar agar tidak memusnahkan hutan-hutan dan kawasan atau habitat haiwan sama ada di daratan mahupun lautan. Dengan penemuan baru , dapat membantu para saintis mengkaji bagaimana hidupan ini dapat bertahan dan dapat membantu para pengkaji dan saintis menyelidik tentang bumi Allah yang semakin dimamah usia dan semakin uzur. Ia juga dapat membantu manusia untuk mempertahankan bumi dari kemusnahan dek kelalaian manusia sendiri.


(Haida Binti Ibrahim Matrik No:122348)


Isnin, 11 Januari 2010

Kepupusan Fauna


Pengenalan
Atas nama pembangunan, flora dan fauna sering menjadi korban manusia. Hasilnya, kita kini diancam kepupusan ratusan spesies binatang. Tidak mustahil pada masa hadapan, gajah, harimau dan singa hanya mampu dikenali generasi akan datang menerusi muzium binatang yang diawetkan. Apakah puncanya dan sejauh manakah manusia bertanggungjawab mengatasi masalah ini?

Bagi menikmati penambahan kemudahan infrastruktur dan tuntutan permodenan serta kemajuan, kita sanggup mengorbankan fauna di sekeliling kita. Implikasinya seperti kita lihat sekarang, banyak spesies fauna yang diancam kepupusan. Menurut Kamus Dewan, fauna bermaksud (Bio) seluruh binatang yang hidup di sesuatu daerah tertentu. Kepupusan pula ditakrifkan sebagai habis semua sekali, hilang lenyap, binasa semuanya dan punah. Jadi, kepupusan fauna boleh didefinisikan sebagai seluruh haiwan semula jadi yang hidup di sesuatu daerah tertentu semakin lenyap, binasa dan mati. Persoalannya, mahukah kita bertanggungjawab atas kepupusan fauna? Jika kita kaji secara mendalam, punca masalah kepupusan fauna adalah manusia itu sendiri.

Seperti dinyatakan tadi, aktiviti-aktiviti manusia adalah punca utama kepupusan haiwan yang membawa kepada kemusnahan dan perubahan habitat. Contoh aktiviti manusia yang paling jelas ialah pembalakan dan penerokaan kawasan baru untuk pembangunan. Menurut laporan Trade Record Analysis of Fauna and Flora, di antara tahun 1986 sehingga Jun 1990, sebanyak 500,000 hektar hutan di Malaysia ditebang tetapi kawasan yang dibenarkan hanya 320,000 hektar saja. Aktiviti pembalakan harus dikawal kerana kemusnahan sesebuah kawasan hutan memerlukan masa selama 40 tahun untuk pulih semula.

Pembalakan yang tidak dirancang mempunyai kesan buruk ke atas alam sekitar kerana ia boleh memusnahkan habitat fauna. Aktiviti- aktiviti ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka tertentu. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnah atau mengecilkan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas untuk aktiviti-aktiviti hidup. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Kematian dan pengurangan bilangan haiwan adalah kesan utama yang akan berlaku disebabkan masalah ini.

Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah. Lebih menyedihkan, kebakaran hutan yang besar dan tidak dapat dikawal akan memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya. Pembukaan kawasan pertanian baru seperti pembukaan tanah baru iaitu tanah rancangan oleh Felda dan Felcra turut menggalakkan kepupusan fauna yang terdapat di kawasan tersebut. Antara yang paling kritikal adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi.

Apabila jumlah penduduk dunia meningkat, kita memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membina rumah, kawasan industri, perniagaan dan pertanian, jaringan pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan seperti loji bekalan air dan tapak pelupusan sampah. Contohnya, pembukaan tanah baru di Loji Gua Musang Kelantan di mana penyerahan tanah secara besar-besaran kepada beberapa syarikat yang bertujuan untuk membuka kawasan pertanian seperti kebun sayur. Bagi tujuan itu maka banyak hutan ditebang dan dibersihkan. Fauna yang berada di sekeliling kawasan itu akan mengalami kepupusan.

Pemburuan haram yang berleluasa di hutan-hutan negara juga adalah faktor kemusnahan habitat dan spesies haiwan. Pemburuan haram berlaku akibat permintaan tinggi daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di negara ini. Sukarnya menyeludup haiwan ini daripada dihidu oleh pihak berkuasa menyebabkan haiwan-haiwan ini sering disembunyikan dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Menurut kajian yang pernah dilakukan, daripada 10 haiwan yang diseludup, biasanya hanya seekor saja yang sampai ke tangan pembeli dalam keadaan selamat. Hal ini menyebabkan nilai haiwan tersebut sangat tinggi dan ini menggalakkan lagi pemburuan haram. Menyedihkan juga kerana haiwan-haiwan daripada golongan primat seperti monyet dijual kepada institusi-institusi tertentu untuk tujuan penyelidikan. Dianggarkan hampir 200,000 primat digunakan setiap tahun untuk tujuan penyelidikan sehingga menyebabkan beberapa jenis primat hampir pupus kini.

Gaya hidup manusia juga turut menjurus kepada kemusnahan haiwan. Walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan diperkenalkan, masalah memburu binatang untuk mendapatkan kulit, gading dan bahagian-bahagian badan binatang yang dikatakan memberi kekuatan kepada manusia terus berleluasa. Harimau, memerang, paus, badak dan gajah adalah antara binatang yang diburu untuk tujuan tersebut. Pemburu haram ini bukan saja mengeksploitasikan binatang ini malahan mengaut keuntungan yang banyak.

Permintaan yang tinggi melalui pasaran antarabangsa dan tempatan terhadap binatang ini menjadi punca utama kegiatan ini berterusan. Contoh lain ialah Harimau Malaya yang merupakan satu spesies yang kian terancam kerana pemburuan terhadapnya. Permintaan yang tinggi terutamanya dalam bidang perubatan Cina menyebabkan Harimau Malaya kini hanya tinggal sejumlah yang sedikit sahaja.

Tumpahan minyak dan sampah-sarap serta pembuangan sisa toksik ke dalam laut menyebabkan kemusnahan hidupan laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat manakala pembuangan sisa kilang juga kadang kala membuang bahan beracun ke dalam sungai. Ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Pencemaran laut juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut. Sungai yang tercemar akan mengalir ke laut dan membawa pencemaran bersama-samanya sehingga mampu menyebabkan hidupan air mati dan semakin pupus. Contoh lain ialah Beruang Panda yang merupakan antara habitat istimewa yang hanya terdapat di negara China kini kian terancam kepupusannya disebabkan pencemaran alam. Hidupan seperti penyu di lautan juga kian terancam. Menurut laporan Pusat Santuari Penyu Rantau Abang Terengganu, melalui kajian mereka menunjukkan bahawa pada tahun 1986 terdapat 5665 ekor penyu mentarut tetapi pada tahun 1994 hanya tingga 2247 ekor sahaja. Ini jelas menunjukkan bahawa kepupusan penyu mentarut ini jika tidak dibendung akan menyebabkan generasi akan datang tidak lagi mengenali spesies ini.

Perubahan suhu dunia merupakan satu faktor yang tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti manusia yang membolehkan kepupusan fauna berlaku. Faktor perubahan iklim ini bukanlah perkara baru dalam kepupusan fauna di mana faktor kepupusan binatang pra sejarah seperti ‘dinasor’ adalah disebabkan perubahan cuaca dunia . Fenomena El-Nino umpamanya menyebabkan peningkatan suhu dunia yang mendadak dan menyebabkan ada sesetengah spesies haiwan yang terancam terutama haiwan yang tidak sesuai dengan cuaca panas.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kepupusan fauna adalah melalui pemeliharaan dan pemuliharaan. Pemeliharaan ialah usaha yang dilakukan untuk melindungi, merancang dan mengurus alam semula jadi supaya kekal dan berterusan. Pemuliharaan pula ialah usaha yang dilakukan untuk memulihkan sumber yang telah diganggu supaya kembali pada keadaan asal.

Selain itu, kerajaan juga menguatkuasakan akta yang telah dan sedia ada. Pelbagai akta telah diwartakan untuk menjaga alam sekitar. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya bersatu dalam menangani isu kepupusan fauna. Antara contoh akta yang telah sedia ada ialah mendokumentasikan kekayaan dan kepelbagaian spesies yang ada dalam hutan sebelum sesuatu tindakan mengubah status kawasan dilakukan.

Di samping itu juga, sistem pengurusan hutan berkekalan diwujudkan bagi melindungi unsur-unsur hutan terutama kepelbagaian hayat spesies yang menghadapi bahaya kepupusan. Akta dan tindakan undang-undang pembalakan khasnya untuk mencegah pembalakan haram diwujudkan seperti di kawasan perlindungan hutan iaitu Taman Negara. Usaha penyelidikan oleh FRIM, Perhilitan dan Jabatan Alam Sekitar seperti usaha mengkaji kepupusan Harimau Malaya juga dilakukan.

Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia. Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ), khususnya dalam mata pelajaran Sains seperti Biologi. Peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.

Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio. Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah. Melalui pendedahan ini, secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran tentang betapa pentingnya memelihara alam sekitar dan kesannya kepada habitat fauna kepada masyarakat. Pada hari ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu kepupusan fauna boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan khazanah yang tiada nilainya jika sudah pupus.

Kesimpulan

Ancaman kepupusan haiwan yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi kita bukan lagi satu masalah domestik atau hanya dialami oleh negara-negara dunia ketiga dan membangun. Ia sebaliknya telah menjadi masalah global dan boleh dikatakan setiap negara di seluruh pelusuk dunia mempunyai agensi atau institusi khusus untuk memastikan masalah kepupusan terkawal. Oleh itu, alam sekitar perlu dipelihara kerana kegiatan manusia yang tidak terkawal boleh menyebabkan kepupusan fauna dan secara tidak langsung kita dan generasi akan datang bakal kehilangan haiwan-haiwan yang mempunyai habitat dan hidup dalam jangka masa lama di negara ini.



(Nur Iwani Yazid No Matrik :119884)

Pertembungan diantara Manusia dengan Hidupan Liar


Pengenalan

Pada hari ini, masyarakat Malaysia amnya menyedari dan mengakui bahawa hidupan liar adalah salah satu kompenen penting dalam menjamin ekosistem semulajadi sesebuah negara. Pembangunan yang pesat hasil daripada peredaran zaman telah menyebabkan kebanyakkan kawasan hutan atau habitat hidupan liar menjadi semakin sempit dan kecil. Keadaan ini biasanya akan mencetuskan pelbagai faktor yang menyumbang berlakunya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar. Aktiviti manusia seperti pemusnahan habitat haiwan merupakan ancaman utama kepada hidupan liar. Ini kerana apabila penerokaan hutan secara berleluasa berlaku seperti penebangan pokok dan pembakaran hutan hidupan liar akan mengalami kepupusan habitat semulajadi mereka. Semua aktiviti manusia ini bertujuan untuk mem­beri laluan kepada tanah ladang dalam menjalankan aktiviti pembangunan sehingga menyebabkan habitat hidupan liar mengalami kemusnahan dan kadangkala spesies hidupan liar menghadapi bahaya kepu­pusan yang melampau.

Konflik utama yang tercetusnya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar adalah melibatkan penerokaan hutan oleh manusia. Penorakaan hutan biasanya bertujuan untuk membina penempatan baru kepada manusia. Kadangkala penerokaan hutan di jalankan bagi aktiviti bercucuk tanam serta pembangunan sesebuah kawasan yang biasanya memerlukan kawasan hutan untuk diteroka. Akibat daripada perbuatan manusia kawasan ragut bagi hidupan liar seperti gajah mengalami gangguan sehingga menyebabkan habitat semulajadi gajah menjadi semakin sempit. Gajah selalunya tidak dapat menampung keperluan makanan mereka apabila habitat semulajadi mereka digugat oleh manusia. Apabila sumber bekalan makanan gajah berkurangan gajah biasanya akan mengancam kehidupan manusia. Kejadian ini dapat dibukitikan melalui laporan akhbar Berita Harian pada 14 Oktober yang lalu di mana sekumpulan gajah muncul di Jerantut Pahang. Kemunculan sekumpulan gajah liar itu disebabkan tempat tinggal mereka mengalami ancaman akibat aktiviti manusia yang dilakukan berhamipran kawasan ladang tersebut. Gajah berkenaan berkeliaran di kawasan hutan milik penduduk kampung adalah untuk mencari makanan dengan memusnahkan semua tanaman penduduk bagi mendapatkan makanan.Tanaman seperti pokok sawit muda, kebun pisang dan buah-buahan menjadi pilihan kepada gajah. Semua ini menyebabkan pertembungan di antara manusia dengan gajah yang menyebabkan penduduk Jerantut terpaksa menanggung kerugian yang besar. Selain itu, tindakan petani dalam membuka hutan untuk tujuan bercucuk tanam juga biasanya akan menganggap hidupan liar seperti gajah sebagai musuh utama mereka. Ini kerana gajah seringkali mencerobohi kawasan pertanian mereka apabila menghadapi masalah untuk mencari makanan akibat daripada kekurangan kawasan ragut. Masalah ini biasanya akan berakhir dengan tindakan petani menembak mati gajah apabila mencerobohi kawasan pertanian.

Selain itu, Pertembungan manusia dengan hidupan liar turut berlaku akibat daripada tindakan manusia dalam menjalankan aktiviti pembakaran dan penebangan hutan. Semua aktiviti ini selalunya akan memusnahkan habitat hidupan liar . Keadaan ini menyebabkan hidupan liar seperti Beruang Madu mengalami pertembungan dengan manusia. Kawasan hutan yang di bakar biasanya mengakibatkan tempat tinggal beruang madu musnah. Oleh yang demikian, Beruang Madu yang telah kehilangan tempat tinggal akan berusaha untuk mencari tempat tinggal lain yang sesuai dengan keadaan asal mereka. Namun apabila persekitaran baru tidak bersesuaian dengan habitat asal Beruang Madu pertembungan akan berlaku. Apabila Beruang Madu tidak mampu untuk hidup dengan baik kesan daripada aktiviti manusia kesihatan hidupan liar tersebut akan terancam dan kadangkala mengakibabtkan beruang tersebut sakit dan akhirnya mati. Beruang Madu biasanya tidak akan menyerang penduduk kehadiran Beruang Madu menimbulkan keraguan dan ketakutan kepada manusia. Akhirnya untuk menghindari daripada sesuatu yang buruk berlaku di kawasan itu, beruang tersebut akan ditangkap atau dibunuh demi menjaga keselamatan kawasan tersebut, kejadian ini dibukitkan apabila hidupan lair tersebut banyak dibunuh oleh manusia untuk mendapatkan organ dalaman yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit.

Pemburuan haram yang berleluasa di dalam hutan juga menjadi faktor berlakunya pertembungan manusia dengan hidupan liar .Hidupan liar seperti harimau merupakan spesis yang kian terancam akibat aktiviti pemburuan haram terhadapnya yang begitu berleluasa. Permintaan yang tinggi dalam bidang perubatan telah mendorong tercetuskan pertembungan antara manusia dengan harimau. Pada hari ini bilangan harimau hanya tinggal jumlah yang sedikit akibat daripada aktiviti manusia tersebut. Jarang sekali kita melihat harimau menjadikan manusia sebagai mangsa mereka dan selalunya hariamu akan mengelak kepada manusia secara semulajadinya. Namun akibat daripada pertembungan yang berlaku di antara mereka telah menyebabkan manusia menjadi mangsa harimau. Keadaan in terjadi apabila manusia menggangu imbangan mangsa dan pemangsa mereka dengan meneroka kawasan hutan yang menjadi habitat semulajadinya. Selain itu, tindakan manusia dengan membawa masuk haiwan peliharaan akan menjadikan mangsa untuk harimau berkurangan dan apabila ini terjadi harimau akan mula mengalih perhatianya kepada haiwan peliharaan daripada manusia seperti kerbau atau lembu. Keadaan ini menyebabkan mangsa utama hariamu adalah pengembala lembu atau kerbau apabila mendapati manusia menjadi mangsa utama harimau yang mudah dan tidak berdaya bagi mereka. Kejadian ini dapat dibuktikan dengan kejadian yang berlaku di Jeli Kota Bharu sejak kebelankangan ini yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pemburu haram yang menyebakan haiwan tersebut membaham manusia.

Keadaan pencemaran yang teruk turut menyebabkan pertembungan antara manusia dengan haiwan khususnya haiwan seperti ikan lumba-lumba serta ikan paus yang hanya wujud di lautan dan tidak di dapati di dalam ekosistem air tawar. Keadaan in disebabkan tindakan manusia dalam menjalan aktiviti harian mereka iaitu seperti aktiviti perindstrian, urbanisasi serta peladangna menyebabkan racun makhluk perosak , pencemaran organik serta peningkatan keladak dalam air bertambah dan menimbulkan pencemaran disamping memusnahkan kehidupan akuatik. Laluan utama pencemaran biasanya berlaku bermula dari darat ke lautan melalui aliran sungai. Sungai-sungai yang tercemar seperti Sungai Buloh, Sungai Juru serta Sungai Kelang biasanya mengalirkan berbagai jenis racun seperti keladak, bahan kumbahan dan najis haiwan ke dalam lautan. Keadaan in menyebabkan spesis yang sensitif lama kelamaan akan lenyap samada disebabkan oleh kematian individu atau disebabkan kegagalan dalam pembiakan mereka. Ini di akibat daripada pencemaran yang dilakukan oleh manusia. Serta melaui pencemaran ini menyebabkan spesis yang tahan lasak dalam pengumpulan bahan toksik oleh badan menyebabkan risiko yang tinggi kepada hidupan yang lain termasuklah manusia walaupun pada asalnya pencemaran berpunca daripada aktiviti manusia.

Serta pertembungan manusia di antara hidupan liar yang melibatkan penorakaan hutan bakau oleh manusia terhadap Burung Botak Upeh. Pengarah Bahagian Konservasi Kepelbagaian Biologi Perhilitan, Siti Hawa Yatim, berkata Seperti yang kita sedia maklum burung botak upeh mengalami kepupusan akibat daripada ancam oleh aktiviti manusia. Penerokaan hutan bakau merupakan faktor yang mencetuskan berlakunya pertembungan tersebut. Ini kerana apabila pokok yang tinggi di kawasan hutan bakau di teroka Burung Botak Upeh akan kehilangnan habitat semulajadi mereka untuk membiak. Proses pembiakan yang terganggu menyebabkan jumlah burung ini merosot. Kini hanya tinggal kira-kira enam ekor burung botak upih di hutan bakau Kuala Gula, Perak, yang menjadi habitat burung ini. Namun Habitat burung ini tetap terganggu walaupun pembukaan hutan bakau dibuat secara terancang akibat pertembunga ndi antara manusia.
Kesimpulan

Bagi mengatasi masalah pertembungan di antara manusia dengan haiwan terus berlaku, pihak yang bertanggunjawab haruslah berusaha untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut dalam mengelak dari berlakunya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar terus terjadi ,Memandangkan semua haiwan tersebut dikategorikan sebagai spesis yang hampir pupus, ia harus mendapatkan permulihan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut. Selain itu, kita juga perlu menubuhankan unit jenayah hidupan liar iaitu dengan mengabungkan seluruh tenaga daripada pelbagai agensi dan bertindak sebagai satu badan pada peringkat pusat untuk bersama menganalisis data berkaitan hidupan lair serta melalui kempen iaitu kempen seharusnya dijalankan dengan berterusan dan semua pihak harus berganding bahu untuk menjayakan kempen tersebut.


(Norlela Binti Zulkafle No Matrik: 119647)