Selasa, 12 Januari 2010

MEMBONGKAR PENEMUAN SPESIS TERBARU …..!




Pendapat yang menyatakan bahawa dunia telah diterokai sepenuhnya, ternyata tidak benar kerana penemuan spesis haiwan dan tumbuhan yang terbaru ternyata masih berterusan dan berlanjutan. Dengan teknologi dan kepakaran pada masa kini, setiap inci ceruk dan pelusuk dunia berjaya “ditembusi” dan menemukan spesis terbaru yang sangat menakjubkan.

Di Tanzania dan di kaki pergunungan Himalaya, pasukan saintis telah menemui spesis monyet mangabey yang yang dinamakan Highland Mangabey (Lophocebus Kipunji ) . Spesis monyet ini berwarna coklat dengan panjang tubuhnya lebih kurang 90 cm. Wajah monyet ini agak unik kerana dipenuhi bulu yang sangat lebat di bahagian pipinya. Rambutnya yang tumbuh lebat dan tebal adalah bertujuan untuk melindungi dari suhu sejuk dan dingin kerana monyet ini tinggal di kawasan dengan ketinggian 2450 meter dari aras permukaan laut.

Pada 1990-an, di kawasan yang terpencil dipergunungan Anam Cordilera, di sempadan Vietnam, Laos, dan Myanmar, sejenis mamalia yang diberi nama Sao La ( Pseudoryx ngetihensis ) telah ditemui. Sao La mempunyai tubuh yang hampir sama besarnya dengan rusa. Tanduknya panjang dan membengkok seperti Oryx .

Conservation International (CI) yang menerajui ekspedisi sekumpulan saintis ke Pergunungan Foja di New Guinea pula, telah berjaya membongkar penemuan spesis terbaru yang menakjubkan. Perjalanan yang dimulakan pada Disember 2005, melibatkan sepasukan saintis dari negara Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia telah menemui khazanah yang tersimpan lama di Pergunungan Foja.

Pasukan saintis tersebut menemui berbagai spesis , katak, burung, tumbuhan dan rama-rama yang menghuni kawasan tersebut. Menurut Bruce Beehler, Naib Presiden CI’s Melanesia Center Biodiversity Conservation dan juga penolong ketua dalam eskpedisi ini, “burung pertama

yang dilihat di kem adalah satu spesis yang baru di temui. Terdapat juga mamalia yang hampir pupus, yang bersembunyi di pergunungan ini. Kami berjaya mendapatkan spesis mamalia primitif yang bertelur yang amat jarang diketahui iaitu Long Beaked Echidnas.”

Dalam ekspedisi ini juga , pasukan saintis turut menemui sejenis mamalia dari keluarga kangaroo yang saiznya sebesar kucing liar yang sangat jinak iaitu Golden-mantled Tree Kangaroo (Dendrolagus pulcherrimus).Golden-mantled Tree Kangaroo mempunyai bulu yang berwarna coklat keperangan, ekornya berbelang-belang dan wajahnya seiras dengan wajah kangaroo.

Hutan New Guinea adalah di antara hutan yang terpelihara namun kini ia menghadapi masalah kepupusan kerana telah dicemari dengan kegiatan pembalakan yang berleluasa. Namun kedudukan hutan di Gunung Foja, yang terletak di barat New Guinea adalah agak terpencil dengan itu , hutannya masih tidak “disentuh” lagi.

Oleh kerana itulah, spesis binatang dan flora masih tidak terusik dan belum pernah ditemui terdapat di sini. Selain dari itu, spesis burung yang yang pertama dari New Guinea ditemui semula selepas 60 tahun. Burung yang mukanya berwarna oren dan menghisap madu tersebut diberi nama Honeyeater .

Begitu juga dengan sejenis lagi burung yang mempunyai keunikan yang tersendiri (lihat gambar di sebelah). Berlepsch's Six-wired Bird of Paradise (Parotia berlepschi), merupakan nama yang diberikan berdasarkan kepada fizikal burung berkenaan. Bulunya berwarna hitam dan perang dan yang paling menarik ialah bulunya yang melajur seolah-olah terdapat antenna di atas kepalanya.

Terdapat lebih dari 20 jenis spesis katak yang baru ditemui masih lagi belum dapat dikenalpasti dan masih dalam kajian para saintis dan pakar. Katak-katak tersebut terdiri dari pelbagai warna seperti warna hijau, coklat dan kehitaman. Bentuk dan saiznya juga berbeza. Spesis-spesis ini merupakan penemuan yang tidak ternilai.

Sejenis tikus yang agak ganjil ditemui di Asia Tenggara pada 05/11/2005. Tikus ini yang bersaiz seekor arnab , serta mempunyai bulu yang lebat dan kaki yang bercantum seperti kaki itik ini, ditemui di Laos,oleh saintis-saintis dari Wildlife Conservation Society (WCS), telah menambahkan lagi koleksi spesis terbaru yang menakjubkan.

Di Malaysia , para saintis mungkin dapat membongkar misteri tentang kewujudan spesis haiwan yang menjadi mitos selama ini. Bigfoot merupakan haiwan lagenda yang menyerupai monyet besar yang berbulu lebat serta mempunyai ketinggian yang luarbiasa malahan bergerak seperti manusia ini dikatakan kelihatan di hutan hujan Johor Baharu.Walau bagaimanapun penemuan ini masih dalam kesamaran kerana tidak ada fakta yang kukuh untuk menyokong kenyataan bahawa haiwan yang di lihat di hutan hujan tersebut ialah benar-benar seekor bigfoot .

Penemuan spesis- spesis baru bukan sahaja si pergunungan malahan banyak spesis baru yang ditemui di perairan dan laut dalam. Begitu juga dengan penemuan baru di perairan Malaysia iaitu sejenis spesis baru Jerung yang dinamakan Jerung Borneo. Spesis ini dikatakan

Penemuan spesis- spesis baru bukan sahaja di pergunungan malahan banyak spesis baru yang ditemui di perairan dan laut dalam. Mengikut laporan pada 11 Disember 2006, para saintis membongkar wujudnya spesis yang disangkakan telah pupus sejak 50 juta tahun lalu di perairan laut dalam Laut Coral ( Coral Sea ).

Di kedalaman 2 batu perairan Lautan Atlantik spesis yang dikatakan pupus ini ditemui semula dan bentuknya sangat ganjil dan misteri. Spesis ini dikatakan tergolong dalam keluarga udang. Spesis ini hidup di dalam air yang sejuk serta kawasan yang gelap.

Lebih dari 3 batu di bawah Laut Sargasso ( Sargasso Sea )di perairan Atlantik , para pengkaji dapat mengumpulkan lebih satu dozen hidupan baru yang belum pernah dilihat. Spesis ini hidup dengan memakan antara satu sama lain serta memakan bahan organik yang hanyut dan mendap dari permukaan laut. Spesis yang masih dalam kajian belum lagi di beri nama dan belum dikategorikan.

Di rekahan perairan Tasmania ,lebih kurang 4000 meter bawah paras laut, para saintis telah menemui spesis yang sangat unik. Spesis ini dinamakan Funnel Shaped Sea Squirt merupakan spesis haiwan karnivor yang berbentuk seperti corong. Ia boleh disamakan seperti pokok Periuk Kera di mana ia memerangkap haiwan seperti udang dan setelah mangsa memasuki “perangkapnya” maka ia akan menutup corongnya.

Menurut Jess Atkins, professor dari Caltech, pencarian hidupan baru ini dijalankan dengan menggunakan Jason iaitu kapal selam mekanikal berbentuk seperti kereta yang dapat menyelam hingga lebih dari 3000 meter bawah paras laut. Hasil dari penyelaman yang dilakukan , terdapat lebih dari ribuan labah-labah laut dan juga jutaan spesis sea anemone yang berwarna ungu berbintik-bintik ditemui para pengkaji dari kedalaman 3000 meter hingga 4000 meter bawah paras laut.

Pencarian spesis yang baru dijalankan di seluruh pelusuk dunia tidak kira di pergunungan mahupun perairan. Mengikut rekod terdapat lebih dari 16,000 spesis ikan laut dan lebih dari 70,000 mamalia dari spesis marin laut dikenal pasti dan yang baru ditemui adalah lebih dari 2,000 spesis.

Para pengkaji masih lagi meneruskan pencarian dengan menetapkan ekspedisi 20 buah lautan termasuklah lautan Antartik dengan para penyelidiknya lebih dari 2,000 orang yang datang dari beberapa buah negara termasuklah Australia, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan pencarian yang tidak berhenti oleh para saintis yang sanggup merentas gunung dan rimba untuk mencari spesis yang wujud tetapi masih belum ditemui.

Penemuan-penemuan baru ini membuktikan betapa luasnya bumi yang dicipta Allah, dan masih banyak hidupan yang tersembunyi . Manusia harus mengambil iktibar agar tidak memusnahkan hutan-hutan dan kawasan atau habitat haiwan sama ada di daratan mahupun lautan. Dengan penemuan baru , dapat membantu para saintis mengkaji bagaimana hidupan ini dapat bertahan dan dapat membantu para pengkaji dan saintis menyelidik tentang bumi Allah yang semakin dimamah usia dan semakin uzur. Ia juga dapat membantu manusia untuk mempertahankan bumi dari kemusnahan dek kelalaian manusia sendiri.


(Haida Binti Ibrahim Matrik No:122348)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan